Exco bukan Islam hadir taklimat hal ehwal Islam atas titah Tuanku Muhriz - MAINS

Kehadiran ADUN DAP ke Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan baru-baru ini dipersoalkan.
Kehadiran ADUN DAP ke Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan baru-baru ini dipersoalkan.
A
A
A

SEREMBAN – Kehadiran Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bukan beragama Islam ke Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan pada 20 Mei lalu adalah atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam kenyataannya berkata, kehadiran Exco tersebut mencerminkan pendekatan tadbir urus yang inklusif dan bersepadu yang diamalkan di negeri ini.

“Kehadiran ini adalah atas titah dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertujuan untuk mendedahkan serta membuka kefahaman mengenai pentadbiran Islam di Negeri Sembilan.

“Taklimat ini turut membentangkan pencapaian institusi agama negeri termasuk pemerkasaan pendidikan Islam, usaha pendigitalan institusi agama Islam serta pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera, iaitu inisiatif pendidikan awal kanak-kanak yang menerapkan nilai-nilai murni dan adat Perpatih merentas kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kata MAINS, taklimat sama yang diadakan pada 8 Oktober tahun lalu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang, turut dihadiri mereka yang bukan beragama Islam.

Jelasnya, pendekatan tersebut membuktikan komitmen MAINS terhadap tadbir urus Islam yang progresif, inklusif dan selari dengan aspirasi perpaduan serta kemajuan bersama seluruh rakyat Negeri Sembilan.

Sebelum ini, tular gambar ADUN DAP, Teo Kok Seong, yang bersongkok hadir ke taklimat berkenaan yang diadakan di sebuah hotel di Port Dickson baru-baru ini.

Yang Dipertua Pas Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir, turut dilaporkan menerusi sebuah portal mempersoalkan rasional kehadiran Exco bukan Islam ke majlis rasmi terbabit dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang janggal.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!