Pemandu bas merah jambu terlibat kemalangan maut direman

Bas merah jambu yang terlibat dalam kemalangan maut di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru.
Bas merah jambu yang terlibat dalam kemalangan maut di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru.
A
A
A

MELAKA - Pemandu bas henti-henti yang disyaki merempuh sebuah kenderaan hingga menyebabkan kemalangan maut pada petang Isnin direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pemandu bas telah ditahan selepas kejadian itu bagi permohonan reman pada hari ini dan saringan ujian air kencing mendapati pemandu terbabit bebas negatif dadah," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang pekerja subkontrakor maut tercampak keluar selepas kenderaan dinaiki dirempuh bas berkenaan di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru.

Kejadian kira-kira jam 4.55 menyebabkan mangsa, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, yang memandu kenderaan jenis Mitsubishi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala rakannya, Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, mengalami luka-luka di badan.

Ujar Ashari, siasatan mendapati setiba di lokasi kejadian mangsa yang dalam perjalanan dari arah Rembia ke AMJ telah memberhentikan kenderaan di bahu jalan.

Bagaimanapun katanya, bas berwarna merah jambu yang dalam perjalanan dari Terminal Melaka Sentral ke Jalan AMJ telah memasuki bahu jalan lalu merempuh kenderaan mangsa.

Katanya, akibat rempuhan itu mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia manakala rakannya yang cedera telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!