'Dulu saya anggap dia Mak Ngah, sekarang jadi isteri'

Pasangan Mohd Shaiful dan Raepah selamat disandingkan bersama 24 pasangan mempelai yang lain bersempena pada tarikh unik 25 Mei 2025.
Pasangan Mohd Shaiful dan Raepah selamat disandingkan bersama 24 pasangan mempelai yang lain bersempena pada tarikh unik 25 Mei 2025.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbezaan usia 23 tahun bukan penghalang buat pasangan Mohd Shaiful Nizam Yeop Mat Isa, 47, dan Rapeah Sani, 70, untuk mendirikan rumah tangga dan diijabkabulkan dalam majlis kenduri kahwin beramai-ramai di Lenggong, Perak baru-baru ini.

Menurut Mohd Shaiful, hubungan cinta antara mereka mula terjalin sejak Oktober tahun lalu apabila dia membuat keputusan untuk meninggalkan Kuala Lumpur dan berpindah ke Lenggong, lalu berjiran dengan Rapeah.

“Dulu saya anggap dia Mak Ngah saya, sekarang tiba-tiba jadi isteri saya.

“Terima sahajalah, jodohkan nak buat macam mana,” katanya.

Pasangan itu telah disandingkan bersama 24 pasangan mempelai yang lain bersempena pada tarikh unik 25 Mei 2025.

Bagi Rapeah pula tidak menyangka air tangannya berjaya menambat hati Mohd Shaiful sehingga membawa kepada ikatan perkahwinan.

Menurutnya, asbab sering memasak dan bersedekah makanan terhadap lelaki yang kini suaminya itu akhirnya menemukan jodoh buat mereka.

"Ini perkahwinan ketiga saya. Saya kenal dia sebab duduk dekat, masak bagi dia makan selalu.

“Ingatkan tak hendak kat dia, rupanya dia ada hati kat saya. Terus mak dia datang meminang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rapeah berkata, beliau dan Mohd Shaiful tidak bertunang lama dan bernikah pada 7 April lalu iaitu selepas sambutan hari raya Aidilfitri.

Majlis Kenduri Kahwin Beramai-ramai Parlimen Lenggong yang berlangsung meriah dengan kehadiran 25,000 tetamu di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara.

Program tahunan itu merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan serta Majlis Pelancongan Lenggong.

Difahamkan, program itu telah diadakan sejak beberapa tahun lalu untuk dijadikan antara produk pelancongan Lenggong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!