Pembantu kedai didakwa rasuah anggota polis RM1,500

KUANTAN – Seorang pembantu kedai penyaman udara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin atas pertuduhan memberi rasuah bernilai RM1,500 kepada seorang anggota polis pada Mei tahun lalu.
Tertuduh, Hiew Chee Yong, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah memberikan wang tunai sebanyak RM1,500 kepada seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Suapan itu diberikan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap dua individu yang berada dalam tahanan polis ketika itu berhubung siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 3.10 petang pada 6 Mei 2024 di hadapan Lokap Berpusat Indera Mahkota, di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut memohon syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Muhamad Saifudin Ab Rahman yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM1,435 sebulan selain menanggung isteri, dua anak dan ibu yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 26 Jun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

