Janin bayi ditemui ditanam di sawah padi

No Image Caption
A
A
A

MELAKA TENGAH - Penduduk Kampung Bukit Rambai di sini gempar berikutan penemuan bungkusan kain putih didakwa mengandungi janin bayi dalam keadaan tertanam di sebuah kawasan sawah padi di sini pagi tadi.

Perkara itu disedari penduduk kira kira jam 8 pagi selepas terlihat kelibat tiga lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan bersama sebatang cangkul dan sebuah kotak berwarna putih ketika mahu mengambil rumput untuk makanan angsa peliharaannya.

Bungkusan kain putih dipercayai janin bayi.
Bungkusan kain putih dipercayai janin bayi.

Penduduk berkenaan, Mihat Kudus, 70, berkata, dia sempat bertanyakan kepada tiga lelaki terbabit bagaimana boleh berada di kawasan sawah padi miliknya.

No Image Caption

“Ketika saya terserempak, mereka sedang menggali lubang dan saya bertanya adakah mereka sedang mencari cacing untuk memancing ikan tapi salah seorang menjawab, mereka mencari tanah hitam.

“Di dalam hati saya masih curiga tindak tanduk mereka jadi berpura-pura terus memotong rumput sambil memerhatikan gelagat mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

Anggota forensik memeriksa bungkusan kain putih didakwa mengandungi janin bayi yang ditemui tertanam di sebuah kawasan sawah padi di Bukit Rambai, pagi tadi.
Anggota forensik memeriksa bungkusan kain putih didakwa mengandungi janin bayi yang ditemui tertanam di sebuah kawasan sawah padi di Bukit Rambai, pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohat, sebaik mereka mahu meninggalkan lokasi dia cuba mengamati dan mengingati nombor pendaftaran salah sebuah daripada dua motosikal dinaiki lelaki berkenaan lalu menulisnya pada batu berhampiran kerana bimbang mungkin terlupa.

“Sebaik perhatikan mereka hilang daripada pandangan saya terus bergegas ke tempat yang digali sebelum melihat ada kesan mencurigakan lalu bertindak melaporkan perkara kepada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 11 pagi.

“Pasukan forensik ke lokasi kejadian dan siasatan sedang giat dijalankan bagi mengesan individu terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang janin,” katanya.