'Jangan sampai pasukan Kedah lenyap'

Penyokong yakin Kedah mampu bangkit. FOTO KDA FC
Penyokong yakin Kedah mampu bangkit. FOTO KDA FC
A
A
A

PENYOKONG setia skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengungkapkan kebimbangan mereka mengenai masa depan pasukan itu selepas digugurkan daripada saingan Liga Super, dengan harapan agar pasukan itu tidak lenyap daripada pentas bola sepak Malaysia.

Penyokong Kedah, Zulkifli Hashim yang dikenali sebagai Puaka Jerai, menyuarakan rasa kecewa dan kesedihan terhadap nasib pasukan yang suatu masa dulu dianggap antara pasukan terkuat di negara ini.

Katanya, mereka sangat sedih dengan nasib Kedah yang pernah menjadi antara pasukan terkuat sebelum ini.

"Kami tidak mahu pasukan asal ini sudah tiada sama seperti yang berlaku kepada pasukan Sarawak yang kini bermain dengan nama Kuching City di Liga Super, atau Kelantan yang kini ada Kelantan Darul Naim

"Harapan kami jangan sampai hilang lenyap macam tu sahaja. Kalau ia terjadi, itu paling menyedihkan buat kami sebagai penyokong," katanya kepada Sukan Sinar.

Khamis lalu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan Kedah terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Keputusan itu dibuat oleh Badan bebas First Instance Body (FIB) setelah kelab tersebut gagal memenuhi syarat kewangan yang ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR).

Namun, Zulkifli yang tetap setia di belakang pasukan Kedah menegaskan dirinya dan penyokong lain akan terus memberikan sokongan penuh.

Menurutnya, walaupun Kedah terpaksa bermain di Liga A1 atau kembali bermula dari bawah, mereka tetap akan menerima dengan hati terbuka.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kata Kedah nak main di A1, bermula balik daripada bawah pun kita terima. Apa yang penting jangan terkubur kerana ini lah satu-satunya hiburan kami di Kedah," katanya.

Zulkifli juga percaya dengan semangat juang yang tinggi, Kedah akan kembali bangkit dan mampu beraksi di Liga Super suatu hari nanti.

"Saya percaya jika kena dengan caranya, Kedah akan kembali bangkit lebih kuat dan mampu beraksi di Liga Super kembali," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!