UPNP tahan tiga warga asing pindah hasil sawit secara haram

TEMERLOH – Cubaan tiga lelaki warga asing memindahkan hasil sawit secara haram di atas tanah milik kerajaan negeri di Kampung Paya Petai di sini berjaya dipatahkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada Sabtu.
Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali berkata, kejayaan itu susulan rondaan pemantauan yang dijalankan anggota UPNP Zon Tengah sekitar daerah Temerloh kira-kira jam 12 tengah hari.
“Lebih kurang jam 1.20 petang, anggota bergerak ke lokasi di Kampung Paya Petai setelah selesai membuat rondaan di kawasan lain.
“Setibanya di lokasi tersebut, anggota mendapati terdapat aktiviti mengutip dan memindahkan hasil sawit secara mencurigakan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, semakan mendapati aktiviti tersebut dijalankan di atas tanah kerajaan di Mukim Songsang, daerah Temerloh sebelum serbuan dilakukan dan tiga lelaki bersama sebuah jentera farm loader berjaya ditahan.
Menurutnya, kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
“Hasil semakan juga menunjukkan tiada sebarang dokumen sah daripada pihak berkuasa negeri yang membenarkan aktiviti pemindahan hasil sawit di kawasan tersebut.
“Mereka hanya mengemukakan dokumen pengenalan diri dan gagal menunjukkan bukti kebenaran mengambil hasil sawit,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kerana memindahkan hasil dari tanah kerajaan secara tidak sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

