Pengeluaran visa haji capai 100 peratus

Petugas haji membaca ikrar dalam Majlis Perhimpunan Petugas Haji Bersama Ketua Rombongan Haji di Abraj Al Janadriyah, Makkah.
Petugas haji membaca ikrar dalam Majlis Perhimpunan Petugas Haji Bersama Ketua Rombongan Haji di Abraj Al Janadriyah, Makkah.
A
A
A

MAKKAH – Proses pengeluaran visa bagi jemaah haji Malaysia musim 1446H/2025M yang dikendalikan Lembaga Tabung Haji (TH) kini sudah mencapai 100 peratus, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun.

Beliau berkata, pengeluaran visa berkenaan adalah sebahagian daripada proses tahunan yang dilaksanakan TH bagi memastikan kelancaran persiapan operasi haji tahun ini.

“Alhamdulillah semua visa haji telah pun dapat 100 peratus,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Petugas Haji Bersama Ketua Rombongan Haji di Abraj Al Janadriyah di sini.

Dalam pertemuan itu, Mohd Hisham meminta petugas TH bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental menjelang kemuncak ibadah haji yang bakal berlangsung dalam tempoh kurang dua minggu.

Katanya, semua operasi Masyair yang melibatkan pergerakan jemaah haji dari Makkah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina memerlukan kerjasama padu daripada seluruh petugas bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.

“Perhimpunan petugas ini melibatkan petugas dari tanah air, Madinah, Jeddah dan juga mereka yang telah berada di Makkah.

“Tujuannya adalah untuk memberi suntikan semangat dan peringatan kepada semua bagi menghadapi cabaran Masyair yang sangat mencabar,” katanya.

Beliau menambah, kejayaan operasi haji tahun ini bergantung pada komitmen semua petugas untuk melaksanakan amanah menyantuni Duyufurrahman dengan penuh dedikasi.

“Ini amanah yang berat. Kita perlu bersatu sebagai satu pasukan. Objektif kita adalah memastikan kebajikan, keselesaan dan ibadah jemaah dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hisham turut mengingatkan semua petugas agar mengekalkan prestasi cemerlang seperti tahun-tahun lalu.

TH sebelum ini menerima Anugerah Labbaittom, satu pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi terhadap mutu perkhidmatan kepada jemaah.

“Antara kriteria penting yang perlu dipatuhi ialah kelulusan permit atau tasrih.

“Tahun ini, kita sasarkan untuk meraih Anugerah Labbaittom tertinggi hasil doa, kerjasama dan komitmen semua,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas haji di tanah air atas pencapaian Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) melebihi 95 peratus.

“CSI di Madinah juga hampir 95 peratus. Petugas di Makkah mempunyai tekanan tinggi untuk kita mengekalkan kecemerlangan yang ada ini supaya CSI terutama pada operasi Masyair dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!