'Itu normal, ada naik dan turun'

BEREGU lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tekad memperkemaskan persiapan mereka selepas tersingkir pada aksi suku akhir Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Jumaat.
Pasangan yang kini menduduki ranking kedua dunia itu kini mengalihkan fokus sepenuhnya kepada Terbuka Singapura minggu hadapan, selepas kali terakhir meraih gelaran juara pada Terbuka India Januari lalu.
Dalam aksi suku akhir, Sze Fei-Nur Izzuddin dikejutkan oleh satu lagi pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang bangkit menewaskan mereka 21-19, 7-21, 16-21, sekali gus menafikan tempat ke separuh akhir.
“Itu perkara biasa, ada naik turun dalam prestasi. Apa yang kami boleh buat sekarang adalah fokus kepada diri sendiri dan kejohanan seterusnya.
“Kami perlu kekalkan keyakinan dan terus percaya kepada kemampuan diri,” kata Nur Izzuddin kepada media.
Perlawanan suku akhir itu turut menyaksikan Wei Chong-Kai Wun merapatkan jurang kemenangan kepada 1-2 dalam tiga pertemuan dengan Sze Fei-Nur Izzuddin.
“Saya rasa prestasi kami bukan yang terbaik hari ini, dan mereka (Wei Chong-Kai Wun) bermain dengan sangat baik. Jadi, mungkin kami boleh tampil lebih baik pada masa akan datang.
“Mereka tukar strategi pada set kedua dan kami lambat menyesuaikan diri, menyebabkan kami ketinggalan jauh. Apa pun, mereka memang bermain dengan lebih baik,” tambah Izzuddin.
INFO
Terbuka Singapura yang berstatus Super 750 dijadualkan bermula 27 Mei hingga 1 Jun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
