Haji 2025: Adaptasi teknologi dan AI

Musim haji 2025 beri peluang kepada para jemaah manfaatkan inovasi digital terkini
Musim haji 2025 beri peluang kepada para jemaah manfaatkan inovasi digital terkini
A
A
A

JEDDAH - Musim haji pada 2025 memberi pengalaman berbeza buat para jemaah berikutan Arab Saudi telah merevolusikan rangkaian teknologi pintar dan platform dipacu kecerdasan buatan (AI).

Riyadh cuba memanfaatkan inovasi digital terkini untuk memudahkan urusan dan melancarkan perkhidmatan bagi memastikan keselesaan serta keselamatan jemaah haji pada kali ini. Kemajuan teknologi tersebut adalah sebahagian daripada agenda transformasi Saudi yang lebih meluas sejajar dengan Visi 2030.

1. Aplikasi digital

Saudi telah menyepadukan permit haji dalam aplikasi Tawakkalna untuk memudahkan proses verifikasi jemaah haji. Mereka boleh mengakses dan menunjukkan permit haji secara digital. Perkhidmatan tersebut dipautkan dengan platform Tasreeh untuk permit haji. Aplikasi Nusuk juga kekal menjadi alat utama untuk membuat tempahan bagi menziarahi Raudah di Masjid Nabawi.

Selain itu, peta digital dan garis panduan interaktif juga disediakan kepada para jemaah untuk panduan arah lokasi dan kemudahan awam di kota suci tersebut.

2. Pusat Panduan Bas Makkah

Di Makkah, Pusat Panduan Bas dilengkapi teknologi pintar untuk memastikan para jemaah asing dibawa secara terus ke tempat penginapan mereka. Platform pintar, Arshidni diintegrasikan dengan aplikasi Nusuk Masar memberikan maklumat perjalanan yang tepat kepada pemandu bas dan memastikan ketibaan seperti dijadualkan. Bilik kawalan juga akan memantau laluan bas secara langsung dan menguruskan jadual perjalanan dengan lancar.

Di Makkah, Pusat Panduan Bas dilengkapi teknologi pintar untuk memastikan para jemaah asing dibawa secara terus ke tempat penginapan mereka.
Di Makkah, Pusat Panduan Bas dilengkapi teknologi pintar untuk memastikan para jemaah asing dibawa secara terus ke tempat penginapan mereka.

3. Portal digital baharu

Presidensi Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah melancarkan portal interaktif baharu yang direka untuk membantu jemaah semasa musim haji. Portal pintar itu memaparkan pelbagai perkhidmatan termasuk waktu solat, kemas kini nama imam dan bilal yang bertugas serta jadual kelas agama yang disediakan dalam beberapa bahasa.

Artikel Berkaitan:

4. Sistem pengekodan bagasi

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi memperkenalkan sistem pengekodan dan sistem penyenaraian di bawah Inisiatif Laluan Makkah. Bagasi para jemaah ditandakan dengan pelekat berkod mengandungi butiran perjalanan dan tempat penginapan di lapangan terbang berlepas.

Sejurus tiba di Saudi, bagasi tersebut akan terus dihantar ke tempat penginapan para jemaah di Makkah dan Madinah. Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha Riyadh untuk menyelaraskan prosedur perjalanan dan meningkatkan kemudahan jemaah haji.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi memperkenalkan sistem pengekodan dan sistem penyenaraian di bawah Inisiatif Laluan Makkah.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi memperkenalkan sistem pengekodan dan sistem penyenaraian di bawah Inisiatif Laluan Makkah.

5. Pemodenan proses haji

Pihak Berkuasa Data dan Kecerdasan Buatan Saudi (SDAIA) memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan pengalaman jemaah haji di lapangan terbang antarabangsa. Ia menggunakan sistem AI paling canggih untuk memastikan pengendalian para jemaah tidak berdepan sebarang kelewatan. Inisiatif itu mengukuhkan komitmen Riyadh untuk menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi buat para jemaah dari seluruh dunia yang mencerminkan dedikasi berterusan Saudi untuk memodenkan proses haji.

6. Robot AI baharu

Presidensi Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi melancarkan Robot Manarat Al-Haramain, versi kedua yang dikemas kini. Inisiatif tersebut memanfaatkan teknologi AI yang semakin berkembang maju. Robot pintar itu digelar sebagai Manara 2 yang disediakan dalam beberapa bahasa seiring dengan transformasi digital. Versi pertama, Manara dilancarkan di Masjidil Haram pada Ramadan lalu.

Robot pintar itu digelar sebagai Manara 2 yang disediakan dalam beberapa bahasa seiring dengan transformasi digital.
Robot pintar itu digelar sebagai Manara 2 yang disediakan dalam beberapa bahasa seiring dengan transformasi digital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!