Tarik balik nasihat laksana caj baharu perkhidmatan kesihatan - MyCC

MyCC menggesa beberapa persatuan pengamal perubatan swasta di negeri-negeri tertentu agar menarik balik nasihat yang dikeluarkan kepada ahli-ahlinya berhubung pelaksanaan caj baharu dalam perkhidmatan kesihatan.
MyCC menggesa beberapa persatuan pengamal perubatan swasta di negeri-negeri tertentu agar menarik balik nasihat yang dikeluarkan kepada ahli-ahlinya berhubung pelaksanaan caj baharu dalam perkhidmatan kesihatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menggesa beberapa persatuan pengamal perubatan swasta di negeri-negeri tertentu agar menarik balik nasihat yang dikeluarkan kepada ahli-ahlinya berhubung pelaksanaan caj baharu dalam perkhidmatan kesihatan.

Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun berkata, caj baharu yang dicadangkan oleh persatuan perubatan swasta di Sarawak, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan pelbagai bayaran seperti caj preskripsi, yuran pendaftaran, caj pematuhan peraturan serta yuran kemudahan, yang kini sama ada telah dilaksanakan atau sedang dipertimbangkan.

Beliau berkata, sebarang keputusan oleh persatuan yang mewakili doktor atau pengamal perubatan am swasta (GP) untuk memperkenalkan caj tambahan boleh dianggap sebagai pelanggaran Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

"Di bawah Seksyen 4(2)(a) Akta 712, doktor atau pengamal perubatan am swasta diklasifikasikan sebagai ‘perusahaan’. Sebarang persetujuan antara perusahaan termasuk keputusan persatuan untuk menetapkan harga atau syarat dagangan boleh dianggap sebagai amalan antipersaingan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Idrus menjelaskan bahawa apabila sesebuah persatuan bersetuju secara kolektif untuk memperkenalkan caj baharu, tindakan itu boleh ditafsir sebagai perjanjian menetapkan syarat dagangan. Malah, cadangan harga, sama ada mengikat atau tidak, boleh dianggap sebagai penetapan harga mengikut Seksyen 4 akta tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SPMPS), Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Selangor dan Kuala Lumpur (PMPASKL), serta Persatuan Pengamal Perubatan Pulau Pinang (PMPS) mengenai kemungkinan pelanggaran undang-undang.

"MyCC menggesa SPMPS menarik balik nasihat yang dikeluarkan kepada ahli-ahlinya yang menggalakkan pelaksanaan caj-caj baharu.

"MyCC juga menyeru PMPASKL dan PMPS agar tidak mengadakan mesyuarat atau mengambil sebarang langkah yang boleh membawa kepada keputusan kolektif untuk menetapkan caj atau memperkenalkan yuran secara seragam, kerana tindakan sedemikian boleh dianggap melanggar Akta 712,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Idrus berkata, di bawah Akta Persaingan 2010, sekiranya sesebuah perusahaan didapati melanggar akta tersebut, MyCC berhak mengenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada jumlah pusing ganti global perusahaan terbabit sepanjang tempoh pelanggaran.

"MyCC tidak akan teragak-agak untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam amalan antipersaingan.

"Suruhanjaya sedang memantau isu ini secara rapi dan menggesa semua pihak berkepentingan, khususnya dalam sektor perubatan, untuk mematuhi sepenuhnya undang-undang persaingan.

"MyCC kekal komited dalam misi menegakkan persaingan yang kompetitif, sihat dan telus demi melindungi hak pengguna dan integriti ekonomi negara,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!