Maaf tiada pesawat untuk anda - Seloroh Ramaphosa dengan Trump

Pertemuan Trump dengan Ramaphosa di White House pada Rabu. Foto AFP
Pertemuan Trump dengan Ramaphosa di White House pada Rabu. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON – Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, pada Rabu secara berseloroh meminta maaf kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semasa pertemuan mereka di White House, dengan menyatakan beliau tidak mempunyai pesawat untuk dijadikan hadiah.

"Maaf, saya tiada pesawat untuk diberikan kepada anda," kata Ramaphosa ketika mesyuarat dua hala dan jamuan tengah hari di Pejabat Oval.

"Saya harap anda ada. Saya akan terima. Jika negara anda menawarkan pesawat kepada Tentera Udara Amerika Syarikat, saya akan menerimanya," balas Trump, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA).

Pertukaran itu berlaku sejurus selepas Pentagon mengesahkan bahawa sebuah jet mewah Boeing 747, hadiah daripada Qatar, telah diterima untuk digunakan sebagai pesawat Air Force One yang baharu.

Pesawat itu, yang dilaporkan bernilai AS$400 juta, telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan penggubal undang-undang Republikan dan Demokrat mengenai implikasi etika dan undang-undangnya.

Pengkritik mempersoalkan sama ada hadiah sedemikian boleh menjejaskan pendirian berkecuali diplomatik AS atau mencetuskan duluan yang membimbangkan dalam urusan antarabangsa.

Pengumuman Pentagon itu, yang dibuat ketika Trump menjadi hos kepada Ramaphosa, menambahkan lagi kontroversi mengenai isu berkenaan.

Trump tidak mengulas secara langsung terhadap kritikan itu, namun pemberian tersebut telah mencetuskan semula perbahasan mengenai ketelusan protokol pertahanan dan diplomatik AS. - Bernama-Anadolu

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!