Lelaki ditahan pecah masuk kedai gajet

SHAH ALAM - Seorang lelaki diberkas pada Isnin dipercayai memecah masuk sebuah premis menjual gajet dan telefon bersama rakannya di Seksyen 16, di sini, 7 April lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan berkaitan kejadian sebelum itu dibuat pemilik premis terbabit.
Beliau berkata, mangsa mendapati premis miliknya dipecah masuk ketika tiba di tempat kejadian kira-kira jam 12.01 tengah hari.
"Pemeriksaan mendapati terdapat beberapa barangan elektronik dan gajet telah hilang dipercayai telah dicuri.
"Mangsa kemudian melakukan semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua individu memakai topi dan pelitup muka masuk ke dalam premisnya sebelum melarikan barangan miliknya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, kedua-dua suspek itu kemudiannya beredar menaiki sebuah kereta jenis Honda City.
"Semakan yang dijalankan pihak polis mendapati kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Selain itu, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kerugian kira-kira RM60,000 akibat kejadian," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan pihak polis kemudian membawa tangkapan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.
"Suspek yang diberkas merupakan individu warga tempatan berumur 33 tahun dan ditahan sekitar kawasan Pudu, Kuala Lumpur.
"Polis kini dalam usaha mengesan seorang lagi rakan suspek dipercayai terlibat dalam kejadian," katanya.
Mohd Iqbal berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Siti Fairuz Abdullah di talian 014-649 4430 atau hubungi IPD Shah Alam di talian 03-55202222," katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah premis dipecah masuk dua individu mengakibatkan seorang lelaki yang merupakan pemilik premis terbabit mengalami kerugian ribuan ringgit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

