Nurhidayah ditemukan di Perak selepas hilang lima hari

SEREMBAN - Pelajar Tingkatan Lima yang dilaporkan hilang ketika mahu ke sekolah Khamis lalu ditemui selamat di Perak.
Bapa saudaranya, Mohd Shazali Muhamad, 47, berkata, Nurhidayah Jamalludin, 17, sendiri yang menghubungi ibunya pada Selasa bagi memaklumkan lokasinya.
"Dia telefon ibunya lebih kurang jam 11. 30 pagi semalam beritahu dia ditinggalkan di tepi hutan sebelum dijumpai oleh seorang perempuan yang membawanya balik ke rumahnya di Meru Jaya, Perak.
"Saya kemudian maklumkan mengenai itu kepada pegawai penyiasat kes yang kemudian telah maklumkan polis di sana," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, Nurhidayah kemudiannya telah dibawa ke Balai Polis Jelapang dan keadaannya dalam keadaan selamat tanpa kecederaan.
Bagaimanapun katanya, dia kelihatan sedikit lemah dan kini telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) untuk membuat pemeriksaan lanjut.
"Tapi saya tak nak cerita lanjutlah kerana bimbang akan menganggu proses siasatan.
"Apa yang penting, saya bersyukur anak saudara saya dah ditemui," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang bapa yang lumpuh kerap menangis kerana bimbang akan keselamatan anak perempuannya yang hilang ketika mahu pergi ke sekolah pada Khamis lalu.
Remaja tersebut, Nurhidayah Jamalludin,17, dilaporkan 'hilang' tiba-tiba di rumah keluarganya di Kampung LB Johnson, di sini kira-kira jam 7.15 pagi dengan memakai seragam sekolah.
Berdasarkan maklumat diterima, terdapat sebuah kereta tidak dikenali membuat pusingan di hadapan rumahnya ketika kejadian.
Nurhidayah yang lengkap berbaju sekolah dikatakan keluar untuk melihat kereta berkenaan sebelum didapati hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

