Pelajar Tingkatan Lima maut dipercayai akibat merempit

GEORGE TOWN - Seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah maut akibat kemalangan selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti merempit di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mangsa berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 4.30 pagi memaklumkan telah berlaku kemalangan maut melibatkan motosikal ditunggangi seorang lelaki.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa menunggang motosikal dari arah George Town menghala ke Batu Maung.
"Apabila sampai di hadapan kilang Keysight, mangsa telah terlibat dalam satu kemalangan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sazalee berkata, bagaimanapun bilangan kenderaan yang terlibat dan punca sebenar kemalangan belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan, sementara mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Balik Pulau untuk tujuan bedah siasat.
Beliau seterusnya menyatakan setakat ini tiada saksi yang tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!