Lelaki maut motosikal terseret ke laluan bertentangan

Lori yang bertembung dengan mangsa turut terbabas ke bahu jalan.
Lori yang bertembung dengan mangsa turut terbabas ke bahu jalan.
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 25 Jalan Gua Musang - Kuala Krai, petang Selasa.

Kemalangan pada jam 4.15 petang itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh dan terseret masuk ke laluan bertentangan.

“Mangsa kemudian melanggar sebuah lori jenis Isuzu dari arah bertentangan menyebabkan dia meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Gua Musang di talian 09-9121222.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!