JPN tambah baik tadbir urus, tetapkan garis masa munasabah selesaikan kes

JPN juga akan melaksanakan latihan semula serta pemantapan kompetensi pegawai penyiasat.
JPN juga akan melaksanakan latihan semula serta pemantapan kompetensi pegawai penyiasat.
A
A
A

HAH ALAM - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan melaksanakan penambahbaikan termasuk memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) dengan menetapkan garis masa yang munasabah bagi penyelesaian kes siasatan kompleks, agar kelewatan serius sehingga mengambil masa 10 tahun untuk diselesaikan tidak berulang.

Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan, langkah tersebut merupakan antara tindakan segera yang diambil susulan laporan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung hasil siasatan terhadap kelewatan tindakan penyiasatan kes permohonan kad pengenalan yang melibatkan isu ketidakaturan dokumen.

"JPN menghormati fungsi pengawasan dan penyeliaan yang dilaksanakan oleh EAIC. Berdasarkan dapatan yang telah dikemukakan, JPN mengambil serius setiap teguran serta syor penambahbaikan yang diberikan, termasuk aspek pengurusan kertas siasatan dan penyimpanan dokumen penting.

"Selain itu, JPN juga akan melaksanakan latihan semula serta pemantapan kompetensi pegawai penyiasat, dan meneliti tindakan tatatertib seperti yang dicadangkan oleh EAIC ke atas pegawai yang didapati cuai atau gagal melaksanakan siasatan kes," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan bahawa EAIC mendedahkan siasatan permohonan kad pengenalan yang dikendalikan oleh jabatan itu mengalami kelewatan serius sehingga mengambil masa lebih 10 tahun untuk diselesaikan.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan dijalankan terhadap aduan kes mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 mendapati terdapat kelemahan oleh pegawai penyiasat.

Sementara itu, JPN turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mengutamakan ketelusan, integriti dan kecekapan dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Langkah penambahbaikan yang diambil bukan sahaja untuk menangani isu yang dibangkitkan, tetapi juga merupakan usaha berterusan yang akan sentiasa diberi keutamaan, seiring aspirasi reformasi sektor awam yang digariskan oleh Kerajaan Madani," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!