Telekung Harmoni: Airaz diperintah bayar RM1.7 juta kepada Siti Khadijah

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Syarikat Airaz Technologies Sdn Bhd membayar ganti rugi berjumlah RM1.7 juta kepada Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd selepas didapati meniru dan melanggar reka bentuk berdaftar Telekung Harmoni.
Peguam Ahmad Hafiz Zubir yang mewakili pengarah syarikat itu, Padzilah Enda berkata, Airaz Technologies juga diperintah membayar RM1.2 juta sebagai akaun keuntungan hasil jualan produk telekung Suqainah Lite dan Suqainah Luxe yang melanggar reka bentuk tersebut.
"Selain itu, syarikat berkenaan turut diperintahkan membayar ganti rugi pampasan dan teladan sebanyak RM500,000 serta kos prosiding berjumlah RM5,000 kepada Siti Khadijah Apparel," katanya ketika dihubungi media.
Pada 8 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan asal Airaz Technologies yang memohon untuk membatalkan pendaftaran reka bentuk Telekung Harmoni milik Siti Khadijah Apparel.
Siti Khadijah Apparel dalam saman balas yang difailkan pada 14 Disember 2022 memohon perisytiharan bahawa Airaz Technologies telah melanggar hak reka bentuk perindustrian miliknya mengikut Seksyen 32 Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996.
Pada 6 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid mengeluarkan perintah tersebut dalam prosiding taksiran ganti rugi secara dalam talian.
Saman balas yang difailkan Siti Khadijah itu dibuat selepas mendapati reka bentuk Telekung Suqainah Lite milik Airaz Technologies mempunyai persamaan ketara pada bahagian kepala dan dagu dengan reka bentuk asal Telekung Harmoni.
Dalam penghakiman penuh pada Februari tahun lalu, mahkamah turut menolak dakwaan Airaz bahawa reka bentuk Telekung Harmoni bukan sesuatu yang asli atau baharu.
Hakim Azlan Sulaiman dalam keputusannya berkata, selepas meneliti sampel Telekung Suqainah Lite dan membandingkannya secara visual dengan reka bentuk Telekung Harmoni, beliau mendapati ciri-ciri penting reka bentuk turut wujud pada kedua-dua produk itu.
Katanya, Telekung Harmoni telah berada di pasaran sebelum Suqainah dijual oleh pihak plaintif.
Siti Khadijah Apparel diwakili peguam Ahmad Hafiz Zubir dan Iman Danial Hakim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

