'Abang tak tahu dah ada orang bayarkan'

SHAH ALAM – Seorang penunggang motosikal yang terkandas akibat rantai motosikal putus di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berasa terharu apabila kos baik pulihnya telahpun dibayar lebih awal oleh penyumbang melalui infak.
Perkara tersebut dikongsikan oleh pengasas Minyak Hitam Jalanan, Muhammad Yusof Mohd Nor, 29, yang menerima panggilan telefon daripada lelaki berkenaan sebaik hendak pulang ke rumah.
“Dia beritahu rantai motosikalnya putus di LDP. Saya minta dia kongsikan lokasi dan gambar motosikal.
“Katanya, motosikal memang tak boleh bergerak langsung, selain meluahkan rasa bimbang tidak akan dapat pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, video perkongsian Muhammad Yusof mengenai situasi berkenaan tular serta mendapat respons positif daripada warga maya.
Menurut Muhammad Yusof, lelaki tersebut memaklumkan bahawa dia kekurangan wang untuk menampung kos pembaikan iaitu RM55 bagi rantai motosikal dan RM40 untuk upah ke lokasi.
“Abang itu dengan nada serba salah memaklumkan bahawa gaji belum masuk, malah menunjukkan baki akaun banknya yang hanya tinggal RM30. Semasa kami sedang membaiki rantai motosikalnya, dia menelefon seseorang, katanya mahu pinjam duit untuk membayar. Dia tidak tahu bahawa ada orang telah pun membayarnya,” katanya.
Jelasnya lagi, sebelum itu pihaknya menerima infak daripada beberapa individu untuk membantu sesiapa yang memerlukan.
"Alhamdulillah, dah banyak kita bantu. Tapi saya tak mahu kongsikan video, takut orang salah faham. Semoga semua yang berinfaq dipermudahkan urusan dunia dan akhirat," katanya.
Muhammad Yusof yang beroperasi secara terbuka di sekitar Petaling Jaya turut menawarkan khidmat tukar minyak hitam di lokasi pelanggan, sekali gus memudahkan mereka tanpa perlu ke bengkel.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!