CUT! buka peluang pengkarya muda tembusi pasaran global

Dari kiri: Sandeep, Ahmad Izham, Craig Conway, Chacko Vadaketh dan Ako Mustapha pada sidang media Pertandingan Filem Seram Pendek Malaysia yang diadakan pada Isnin.
Dari kiri: Sandeep, Ahmad Izham, Craig Conway, Chacko Vadaketh dan Ako Mustapha pada sidang media Pertandingan Filem Seram Pendek Malaysia yang diadakan pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri perfileman Malaysia kini memasuki fasa baharu menerusi pelancaran CUT!, iaitu pertandingan filem seram pendek terbesar di negara ini, dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM40,000.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas bersama Ampersand Advisory, Sandeep Joseph berkata, pertandingan yang mendapat kerjasama strategik syarikat produksi dari United Kingdom (UK), Turnover XXV, itu memberi peluang kepada pengkarya muda untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Ia terbuka kepada individu tempatan berusia 18 tahun ke atas, dengan setiap filem bergenre seram perlu dihasilkan dalam tempoh kurang daripada lima minit. Peserta bebas menghasilkan karya dalam pelbagai bahasa, dengan syarat sari kata dalam bahasa Inggeris turut disertakan.

“Kami ingin menjemput penggiat filem seram untuk menghantar karya mereka bermula hari ini (Isnin) hingga 19 September, manakala juri akan membuat penilaian pada 22 September hingga 24 Oktober ini.

“Kami mahu mencipta ruang di mana penggiat filem seram diiktiraf secara serius dan dibimbing menjadi pencerita bertaraf global. Malah, kami akan mempertimbangkan untuk mengupah bakat berkualiti yang kami temui dalam CUT!,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran pertandingan itu di Sunway 163 Mall di sini, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Craig Conway
Craig Conway

Turut hadir, Ketua Eksplorasi Komet Studios dan pemenang Anugerah Penerbit Muzik dan Penulis Lagu, Datuk Ahmad Izham Omar; pengasas bersama Turnover XXV, pelakon, penerbit dan pengarah Craig Conway; Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), pelakon dan artis suara, Chacko Vadaketh; serta pelakon dan penerbit filem dan TV, Ako Mustapha.

Mengulas lanjut, Sandeep berkata pertandingan itu akan dinilai oleh barisan juri terkenal tempatan, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima TV Networks & Primeworks, Nini Yusof; Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad; Ahmad Izham; serta Craig Conway.

“Kredibiliti juri memberikan jaminan bahawa karya peserta akan dinilai oleh tokoh yang benar-benar berpengaruh dalam landskap filem Malaysia dan antarabangsa.

“Selain hadiah wang tunai, CUT! turut menawarkan anugerah khas bagi penyertaan terbaik untuk memberi galakan kepada bakat baharu dan krew produksi muda,” ujarnya.

Dalam pada itu, Craig Conway berkata, bahawa dalam usaha memperluas impak inisiatif tersebut, pihaknya turut mengumumkan pelancaran Independent Film Production Partnership (IPP).

Menurutnya, IPP bertujuan memperkasa penceritaan serantau, membina peluang kerjasama produksi dan menyediakan laluan mampan ke industri global.

“Filem cereka pertama di bawah IPP kini dalam fasa pembangunan. Kami mahu berkongsi kisah yang datang dari tempat sebenar dan membawa tujuan bermakna, selain memastikan generasi pembikin filem akan datang disokong sepenuhnya.

“Apa yang bermula di rantau ini boleh bergema di peringkat global apabila diberi platform yang betul,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!