Jajaran akhir ART diketahui awal Ogos

Pelaksanaan ART dijangka memberikan manfaat besar dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, mempercepat mobiliti harian dan menyokong agenda rendah karbon negeri. - Foto hiasan
Pelaksanaan ART dijangka memberikan manfaat besar dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, mempercepat mobiliti harian dan menyokong agenda rendah karbon negeri. - Foto hiasan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Cadangan jajaran akhir bagi Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat dijangka diketahui pada awal Ogos depan.

Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, inisiatif tersebut sedang melalui proses penilaian menerusi Permintaan Cadangan (RFP) yang dikendalikan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

“Pihak UKAS telah memulakan proses RFP bagi pelaksanaan sistem E-ART bagi melengkapkan sistem pengangkutan bersepadu di Greater Johor Bahru.

“Pelaksanaan ART ini dijangka memberikan manfaat besar dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, mempercepat mobiliti harian dan menyokong agenda rendah karbon negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) berkenaan langkah diambil kerajaan bagi menangani isu kesesakan di Johor Bahru termasuk langkah pelan jangka pendek serta panjang yang dirangka.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli (BN-Bukit Pasir) memaklumkan, kerajaan negeri sudah merangka pelan penyuraian trafik dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyuraian Trafik Greater JB.

Menurutnya, jawatankuasa khas peringkat negeri mengenal pasti sebanyak 77 kawasan kesesakan telah dikenal pasti dan lebih 20 lokasi telah diambil tindakan.

"Antara kawasan titik panas yang telah dirangka pelan penyuraian ialah penutupan Jalan Ledang menghala ke Lebuhraya Skudai (susur keluar dari Taman Johor ke Skudai) dilihat berjaya mengurangkan tekanan trafik di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga meneliti keperluan untuk menambah kapasiti jalan raya termasuk pelebaran jalan, pembinaan jalan pintas baharu dan penyelenggaraan berkala.

"Pelan ini melibatkan pembinaan jalan baharu, pelebaran jalan sedia ada, serta sistem pengurusan trafik yang lebih moden bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kepadatan trafik masa depan.

"Oleh itu, kerajaan negeri menghantar senarai 18 cadangan projek bernilai hampir mencecah nilai billion ringgit kepada pihak Perkhidmatan Perunding Bagi Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) bagi meneliti projek yang patut diberi keutamaan untuk mendapat kelulusan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!