Pulau Pinang catat lebihan RM65.27 juta

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang mencatatkan kedudukan kewangan kukuh apabila merekodkan lebihan (surplus) sebanyak RM65.3 juta setakat 31 Mac 2025.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, lebihan itu dicapai hasil jumlah pendapatan negeri berjumlah RM268.46 juta, berbanding perbelanjaan sebanyak RM203.19 juta dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, kedudukan semasa Kumpulan Wang Disatukan setakat 30 April 2025 juga menunjukkan peningkatan kepada RM1.54 bilion.

"Jumlah itu merangkumi Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM199.22 juta dan Akaun Amanah Disatukan sebanyak RM1.34 bilion.

"Ini menunjukkan peningkatan berbanding kedudukan pada akhir tahun kewangan 2024 yang belum diaudit iaitu RM1.38 bilion. Ketika itu, Akaun Hasil Disatukan mencatat RM155.94 juta manakala Akaun Amanah Disatukan adalah RM1.23 bilion," katanya.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) berhubung penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun 2024 dan pendapatan dan perbelanjaan terkini bagi tahun 2025.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, bagi tahun 2024, kerajaan negeri mengakhiri tahun kewangan dengan kurangan semasa sebanyak RM174.09 juta, iaitu lebih rendah berbanding tahun sebelumnya iaitu RM358.80 juta.

“Kurangan ini adalah hasil daripada kutipan pendapatan berjumlah RM810.46 juta, berbanding perbelanjaan mengurus RM719.55 juta dan pindahan ke Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM265 juta.

“Kerajaan negeri turut menerima pendahuluan sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang antara lain menyumbang kepada peningkatan dalam Akaun Amanah Disatukan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Bagi memperkukuh kedudukan kewangan, beliau berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif mengenal pasti sumber hasil baharu bagi tahun ini menerusi dua siri bengkel pada 2024 dan awal 2025.

"Dua bengkel tersebut ialah Bengkel Semakan Kadar, Prosedur Kutipan Hasil dan Isu Tunggakan pada 2 hingga 4 Ogos 2024 serta Bengkel Halatuju dan Peningkatan Hasil Pentadbiran dan Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 15 hingga 18 Januari 2025.

“Hasil dapatan kedua-dua bengkel itu telah menghasilkan 24 strategi peningkatan dan pemantapan hasil. Daripada jumlah itu, sebanyak sembilan strategi sedang dalam pelaksanaan sepanjang tahun ini,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!