[VIDEO] Ekspo Nusuk-Pilgrims Gifts pamer budaya, perniagaan Arab Saudi
MAKKAH – Pameran perdagangan anjuran Dewan Perniagaan Makkah di sini membuka peluang kepada jemaah haji Malaysia untuk melihat dan memahami budaya serta perniagaan yang dijalankan oleh penduduk Arab Saudi.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, ekspo berkenaan mempamerkan syarikat-syarikat di Arab Saudi yang ada antaranya turut bekerjasama dengan Tabung Haji dalam membekalkan air zamzam.
“Nusuk–Pilgrims Gifts Expo ini memberi peluang kepada jemaah haji untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan memahami sedikit sebanyak berkaitan perniagaan syarikat di sini (Makkah) yang membekalkan pelbagai barangan untuk kemudahan serta keperluan masyarakat di sini.
“Dalam ekspo ini juga terdapat pelbagai bentuk barangan hadiah yang boleh dibeli sebagai buah tangan dengan harga yang lebih baik untuk dibawa pulang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat reruai di Pusat Pameran dan Persidangan – Dewan Perniagaan Makkah di sini.
Dewan Perniagaan Makkah merupakan sebuah entiti bukan berasaskan keuntungan yang bertujuan memajukan pelbagai aktiviti perdagangan dalam pelbagai sektor.
Ia juga mewakili para peniaga di kementerian, pihak berkuasa dan institusi awam serta berperanan melindungi dan membangunkan sektor perniagaan di Wilayah Makkah al-Mukarramah.
Mohd Hisham berkata, penyertaan jemaah haji ke ekspo yang berlangsung dari 15 Mei hingga Isnin itu diuruskan oleh sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan bas untuk berulang-alik dari hotel penginapan ke tapak ekspo tersebut.
“Ia merupakan salah satu program tambahan kepada jemaah kita bagi meningkatkan pengalaman dan juga pengetahuan berkaitan aktiviti-aktiviti yang ada di Makkah ini,” katanya.

Sementara itu, jemaah haji, Hussin Limat berkata, beliau membeli jubah dan juga barangan cenderamata untuk dibawa pulang ke tanah air selepas tamat musim haji nanti.
“Harga barangan di sini boleh tahan, saya beli beg dan juga jubah.
“Terima kasih kepada Tabung Haji yang menganjurkan program begini kepada bakal-bakal haji,” katanya.
Seorang lagi jemaah haji, Rahmah Ibrahim, 67, berkata ekspo berkenaan banyak mempromosikan produk peniaga tempatan.
“Saya lihat kualiti barangannya bagus dan harga pun murah.
“Selepas ini, jika ada lagi ekspo seperti ini, boleh bawa lebih ramai jemaah haji lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

