Hamas kecam serangan Israel ke atas khemah penduduk di Gaza

Hamas kecam serangan udara Israel ke atas khemah pelarian di Khan Younis yang membunuh 20 orang awam. Foto AFP
Hamas kecam serangan udara Israel ke atas khemah pelarian di Khan Younis yang membunuh 20 orang awam. Foto AFP
A
A
A

ISTANBUL/ANKARA - Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, pada Sabtu mengecam serangan udara Israel yang menyasarkan khemah yang menempatkan orang awam terjejas di kawasan Mevasi, Khan Younis, selatan Gaza, sambil menyifatkannya sebagai kekejaman baharu dan jelas merupakan jenayah perang, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kumpulan itu berkata, serangan yang menyebabkan kebakaran dan kematian itu mendedahkan sifat fasis kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Hamas menggambarkan tindakan menyasarkan dan membakar khemah orang awam sebagai pelanggaran ketara terhadap semua norma kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, serta mendakwa Amerika Syarikat (AS) perlu lebih bertanggungjawab kerana sokongan politik dan ketenteraannya kepada Israel.

Hamas turut mengecam masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana berdiam diri terhadap pelanggaran luar biasa Israel ke atas orang awam, yang disifatkannya sebagai 'paparan menyakitkan terhadap ketidakupayaan'.

Kumpulan itu menggesa negara-negara Arab dan Islam untuk mengambil langkah segera dan berkesan bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan genosid, memberikan bantuan kepada rakyat Palestin dan menyokong perjuangan mereka.

Sekurang-kurangnya 20 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 100 cedera dalam serangan udara yang mencetuskan kebakaran di khemah yang menjadi tempat perlindungan orang awam yang dipindahkan.

Tentera Israel telah melancarkan serangan ganas terhadap Gaza sejak 7 Oktober 2023, mengorbankan lebih 53,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap pada November lepas terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Artikel Berkaitan:

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung peperangannya di wilayah berkenaan. - Bernama-Anadolu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!