Panda gergasi Fu Wa, Feng Yi tinggalkan Malaysia selepas 11 tahun

KUALA LUMPUR - Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi yang kembali ke China pada 18 Mei 2025 selepas 11 tahun menetap di Malaysia sejak 2014.
Kepulangan Fu Wa dan Feng Yi menandakan tamatnya fasa pertama Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang dimeterai di antara kedua-dua negara pada tahun 2012.
Majlis perpisahan diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan kehadiran Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo; dan wakil Kedutaan China.
“Saya mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan penghantaran pulang Fu Wa dan Feng Yi,” kata Nik Nazmi.
Fu Wa dan Feng Yi tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 sebagai simbol persahabatan diplomatik dan komitmen konservasi global.
“Malaysia telah menunjukkan pencapaian luar biasa dalam konservasi ex-situ Giant Panda dengan kelahiran tiga ekor anak Giant Panda,” menurut kenyataan rasmi kementerian.
Anak pasangan itu -- Nuan Nuan, Yi Yi, dan Sheng Yi -- juga telah dihantar pulang ke China mengikut syarat perjanjian.
Menurut Nik Nazmi, kepulangan pasangan panda gergasi itu tidak bermaksud berakhirnya hubungan konservasi di antara kedua-dua negara.
Katanya, Malaysia dan China telah menandatangani perjanjian baharu pada 16 April 2025 yang membolehkan ketibaan sepasang panda gergasi baharu untuk tempoh 10 tahun akan datang.
“Malaysia dijadual menerima kehadiran sepasang Giant Panda baharu pada 2025,” jelas beliau.
Menurut Nik Nazmi, projek ini bukan sekadar konservasi, tetapi juga cerminan hubungan strategik dua hala. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
