Suami koma akibat kemalangan, isteri rayu orang ramai kongsi rakaman 'dashcam'

Shah Iman yang kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) masih tidak sedarkan diri selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 272.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada 13 Mei lalu.
Shah Iman yang kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) masih tidak sedarkan diri selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 272.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada 13 Mei lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita merayu bantuan orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan satu kemalangan di Kilometer 272.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada 13 Mei lalu untuk tampil membantu siasatan.

Junaidah Jefry, 30, berkata, rakaman itu penting bagi membantu proses siasatan kemalangan yang membabitkan suaminya, Shah Iman Suratman, 31, yang kini masih tidak sedarkan diri di hospital.

“Saya difahamkan kejadian itu berlaku pada waktu puncak orang pergi bekerja antara jam 7 pagi hingga 8.30 pagi.

“Ketika kejadian, suami saya menunggang motosikal dan bagaimana sebenarnya kemalangan itu berlaku saya sendiri tidak pasti kerana suami saya yang sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) masih belum sedarkan diri,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, dia hanya mengetahui sesuatu menimpa suaminya selepas mendapati lelaki itu masih belum pulang ke rumah pada jam 6 petang dan panggilan ke telefonnya juga gagal dihubungi.

Disebabkan itu, kata Junaidah, dia mengambil inisiatif menghubungi pihak HTJ dan dimaklumkan bahawa suaminya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Pada jam 2 petang hari kejadian, rakan suami ada hubungi saya bertanya sama ada suami bekerja atau tidak kerana dia masih belum sampai ke pejabat.

“Tapi saya mula rasa tak sedap hati apabila tidak dapat menghubungi suami dan mesej WhatsApp yang dihantar juga tidak dibalas, menyebabkan saya terus menghubungi HTJ,” katanya.

Ujar Junaidah lagi, seorang mangsa kemalangan yang turut dirawat di HTJ ada menceritakan bahawa kejadian tersebut melibatkan mereka dan sebuah lagi kereta.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, pihak polis memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pemilik kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan di lokasi itu.

“Saya ada minta bantuan pihak PLUS untuk berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, tetapi dimaklumkan bahawa kamera itu tidak merakam kejadian kemalangan berkenaan.

“Jadi sebab itulah saya minta kawan-kawan bantu sebarkan di Facebook, jika ada sesiapa yang mempunyai rakaman dashcam semasa kejadian berlaku,” katanya.

Tambah Junaidah, sesiapa yang mempunyai rakaman dashcam atau maklumat berhubung kemalangan itu boleh menghubunginya di talian 0133678984.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!