Aaron-Wooi Yik buru gelaran kedua

Aaron (kiri) Wooi Yik berpeluang untuk meraih gelaran kedua apabila akan beraksi di pentas final Terbuka Thailand di Bangkok pada Ahad. Foto Agensi
Aaron (kiri) Wooi Yik berpeluang untuk meraih gelaran kedua apabila akan beraksi di pentas final Terbuka Thailand di Bangkok pada Ahad. Foto Agensi
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila mara ke final Terbuka Thailand di Bangkok pada Sabtu.

Kejayaan tersebut diraih selepas pasangan negara itu menumpaskan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh secara straight set di Stadium Nimibutr.

Biarpun ditentang sengit pasangan tuan rumah itu, Aaron-Wooi Yik yang merupakan pilihan kedua kejohanan tenang mengawal permainan untuk menang set pertama 21-17.

Enggan menoleh kebelakang, juara Asia 2025 itu terus mendominasi perlawanan apabila mengesahkan kemenangan 21-13 dalam tempoh 37 minit permainan.

“Biarpun menang straight set, ia bukan perlawanan yang mudah. Mereka (Kittinupong-Dechapol) bermain agresif terutamanya di set pertama, tetapi kami berjaya dapatkan semula momentum.

“Kami hanya mahu menikmati setiap perlawanan. Menang atau kalah itu nombor dua,” ujar Aaron.

Menanti Aaron-Wooi Yik dalam saingan akhir pada Ahad ialah pasangan ke-75 dunia William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer.

Pasangan Denmark itu mara ke final selepas mengejutkan pilihan pertama kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-13, 21-12 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir Malaysia muncul juara Terbuka Thailand ialah bagi edisi 2009 menerusi pasangan Chan Peng Soon-Lim Khim Wah.

Andai berjaya merangkul gelaran Super 500 itu, ia bukan sekadar menambah koleksi kejuaraan mereka musim ini, malah menyuntik semangat menjelang Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil minggu depan.

Aaron-Wooi Yik baru-baru ini dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 atas kejayaan memenangi gangsa Olimpik Paris, sekali gus membuktikan mereka kini berada di kemuncak prestasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!