Ahmad Jais mahu momentum dikekalkan

SKUAD sepak takraw negara mara ke separuh akhir acara regu berpasukan Piala Asia Kuala Lumpur 2025 selepas menampilkan aksi cemerlang untuk muncul juara Kumpulan B dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada Sabtu.
Kemenangan bergaya 3-0 ke atas Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan memastikan laluan Malaysia ke separuh akhir, sekali gus meneruskan rekod bersih sepanjang kempen peringkat kumpulan selepas menewaskan Brunei dan Jepun masing-masing dengan keputusan serupa, 3-0.
Trio pertama negara yang dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Muhammad Noraizat Mohd Nordin (perejam), dan Farhan Adam (pengumpan) membuka tirai kemenangan apabila menundukkan regu Korea Selatan 15-6, 15-9. Walaupun ditentang hebat oleh gandingan Cheon Dong-ryung, Seon Woo Young-su, dan Oh Dae-yang, sorakan padu penyokong tempatan membakar semangat anak buah negara.
Regu kedua yang diketuai Mohammad Syahir Rosdi (tekong), bersama Mohamad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir pula tidak berdepan masalah menewaskan lawan mereka 15-6, 15-11, sebelum trio terakhir Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi – melengkapkan kemenangan mutlak 3-0 dengan kemenangan 15-8, 15-7 ke atas regu diketuai Nam Sang-hun.
Ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun menyuarakan rasa puas hati terhadap prestasi yang dipamerkan anak buahnya serta berharap momentum tersebut dapat diteruskan dalam aksi separuh akhir pada Ahad.
“Kalau kita tengok daripada segi prestasi, pemain-pemain kita pada perlawanan petang ini menunjukkan peningkatan yang baik.
“Kita harap momentum tersebut dapat kita dikemaskan lagi untuk perlawanan separuh akhir esok, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Aksi separuh akhir dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi Ahad, manakala perlawanan akhir akan berlangsung pada jam 4 petang di gelanggang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
