AFC denda JDT RM103,008

Cabaran JDT terhenti di pusingan 16 ACLE selepas tunduk kepada Buriram United.
Cabaran JDT terhenti di pusingan 16 ACLE selepas tunduk kepada Buriram United.
A
A
A

Gergasi Liga Malaysia (Liga-M) Johor Darul Ta'zim (JDT) dikenakan denda AS$24,000 (RM103,008) oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) gara-gara tindakan tidak wajar penyokong Harimau Selatan dan pelanggaran disiplin pemain semasa perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim pada Mac lalu.

Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC mendapati JDT bersalah atas tiga pertuduhan utama: tingkah laku penyokong yang tidak terkawal, kelemahan dalam organisasi perlawanan, serta ketiadaan semangat kesukanan dalam kalangan pemain menyusuli kekalahan 0-1 dalam aksi timbal balik pusingan 16 tersebut.

Insiden bermula apabila jaringan pemain import JDT, Jorge Obregon pada minit ke-97 dibatalkan kerana ofsaid dalam perlawanan berkenaan.

Keputusan kontroversi itu mencetuskan perasan tidak puas hati penyokong tuan rumah yang bertindak membaling objek ke arah penjaga garisan, Abdulhadi Al-Enezi.

"Atas kesalahan tersebut, Harimau Selatan diarahkan membayar denda RM42,920 kerana melanggar Artikel 65.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC," jelas badan induk bola sepak Asia itu.

Selain itu, JDT turut didenda RM55,796 kerana didapati melanggar Artikel 64.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC berkaitan kelemahan organisasi perlawanan.

Malah, kelab selatan tanah air itu juga dikenakan denda tambahan RM4,292 kerana melanggar Artikel 50.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.

AFC menetapkan agar keseluruhan denda itu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!