Dua beranak terselamat kereta dihempap pokok

IPOH – Dua beranak berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian angin kencang di Jalan Raja Ashman Shah berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian diterima pada jam 5.51 petang membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva.
Menurut beliau, pemandu berusia 33 tahun dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun itu telah terperangkap, namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
"Setibanya di tempat kejadian, terdapat sebatang pokok tumbang di atas sebuah kereta dan menghalang laluan.
"Operasi diteruskan dengan kerja-kerja pemotongan dahan pokok menggunakan alat gergaji berantai dan parang bagi mengalihkan kenderaan serta membuka laluan yang terhalang," katanya di sini.

Sabarodzi berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tamat pada jam 6.30 petang.
Dalam kejadian berasingan, beliau memaklumkan lima lelaki cedera selepas terkena runtuhan bumbung rumah ketika berteduh akibat hujan lebat di Jalan St John di sini.
"Berdasarkan keterangan, empat mangsa cedera ringan, seorang patah tangan dan seorang lagi mangsa terselamat dalam kejadian sekitar jam 5.45 petang.
"Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan lanjut," katanya.
Tambah beliau, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada mangsa lain tertindih di bawah runtuhan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!