Toyota Alphard milik Ustaz Firdaus Farabib hilang di parkir hotel

Mangsa memuat naik video di akaun Facebook berhubung kehilangan kenderaan miliknya itu.
Mangsa memuat naik video di akaun Facebook berhubung kehilangan kenderaan miliknya itu.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Alphard yang dilaporkan dicuri di parkir sebuah hotel di Sungai Senam di sini dilihat keluar melalui pintu sisi tempat penginapan tersebut sekitar jam 5.30 pagi pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan itu diperolehi hasil siasatan awal dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Menurutnya, polis menerima laporan daripada pemilik kenderaan berusia 37 tahun yang menyedari kehilangan kenderaannya sekitar jam 1.29 petang hari yang sama.

"Pengadu memaklumkan bahawa Toyota Alphard miliknya berwarna putih yang diletakkan dalam keadaan berkunci telah hilang.

"Polis kemudiannya melakukan semakan terhadap CCTV dan mengesan kenderaan itu telah dibawa keluar pada awal pagi,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kejadian tersebut tular di media sosial selepas mangsa memuat naik video di akaun Facebook miliknya menggunakan nama 'Firdaus Farabib' memaklumkan kenderaan miliknya telah dicuri.

Abang Zainal Abidin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Polis memandang serius kejadian ini dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Nur Nazihah Zainuddin di talian 019-636 3536 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, di media sosial orang ramai berkongsi maklumat kehilangan kenderaan bernombor pendaftaran VM 7515 itu.

Perkongsian terbaharu turut menawarkan ganjaran bernilai RM3,600 bagi mereka yang menyalurkan maklumat sehingga kenderaan itu dapat ditemui.

"Kereta sahabat kami, Ustaz Firdaus Firabib hilang dicuri di Ipoh, Perak..minta war-war sampai jumpa, ada ganjaran kami kasi (beri)," kongsi maklumat itu di media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!