Penghuni selamat asrama pekerja ladang terbakar

KOTA BHARU - Penghuni sebuah asrama pekerja ladang di Ladang Felda FGV Aring 2, Gua Musang selamat dalam kebakaran pada Jumaat.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBK II), Nik Mohd Fakri Md Nawi berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika penghuni asrama sedang berehat kerana tidak bekerja.
Menurut beliau, bomba menerima panggilan pada jam 8.10 pagi sebelum 11 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang bergegas ke lokasi sejauh 70 kilometer (km) dari balai bomba.
"Maklumat awal daripada pemanggil memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah asrama anggaran keluasan 8.4 x2.2 meter persegi," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Nik Mohd Fakri berkata, ketika jentera bomba tiba di lokasi, semua penghuni sudah keluar daripada bangunan berkenaan dan berkumpul di tempat yang selamat.
"Maklumat awal daripada pemanggil mengatakan kebakaran berlaku dari bahagian dapur namun punca sebenar masih dalam siasatan," katanya.
Jelas beliau, insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
