Guru didakwa tikam anak dengan niat membunuh

Tertuduh (dua, kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Selasa untuk pendakwaan.
Tertuduh (dua, kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada Selasa untuk pendakwaan.
A
A
A

PASIR MAS – Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan menikam anak lelakinya berusia 11 tahun dengan niat membunuh sehingga mengakibatkan kecederaan.

Tertuduh, Asrolfandi Ab Suki, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira jam 8.55 pagi, 2 Mei lalu, di sebuah rumah di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung, Pasir Mas dengan niat membunuh mangsa menggunakan pisau, sehingga menyebabkan kecederaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aiysha Na’ilah Harizan memohon agar tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk penilaian psikiatri, dan permohonan tersebut tidak dibantah oleh pihak tertuduh.

Hakim kemudian membenarkan permohonan itu dan memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi pemerhatian psikiatri serta penilaian status mental.

Mahkamah turut menetapkan 15 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh sebelum ini telah ditahan reman selama dua minggu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan bahawa seorang guru menikam anak bongsunya yang berusia 11 tahun sebanyak dua kali di bahagian dada dan sekali di perut menggunakan pisau pemotong sayur.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada krisis rumah tangga, di mana tertuduh dikatakan sedang dalam proses penceraian dengan isterinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!