Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2840/2910 berbanding dolar AS daripada 4.3185/3250 ketika ditutup pada Selasa.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2840/2910 berbanding dolar AS daripada 4.3185/3250 ketika ditutup pada Selasa.
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong oleh sentimen risiko yang bertambah baik susulan data inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan serta penyusutan hasil perbendaharaan AS.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2840/2910 berbanding dolar AS daripada 4.3185/3250 ketika ditutup pada Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit mengukuh selepas hasil AS menyusut berikutan laporan inflasi yang lemah daripada jangkaan, sekali gus memberikan ruang kepada mata wang Asia, termasuk ringgit, untuk pulih.

“Ketika kadar faedah jangka panjang AS kekal tinggi, pasaran dilihat menilai semula unjuran inflasi, memandangkan tekanan harga yang dijangka daripada pengumuman berkaitan tarif baharu-baharu ini belum menjadi kenyataan.

“Tarif import baharu Presiden AS, Donald Trump, dijangka mencetuskan peningkatan harga, namun data inflasi bagi April menunjukkan tiada peningkatan harga yang ketara dalam kategori yang mungkin terjejas,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah bahawa pasaran pertukaran asing hari ini lemah secara keseluruhan, dengan pergerakan kebanyakannya didorong oleh faktor luaran berbanding perkembangan dalam negara.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama dunia.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.9373/9425 daripada 2.9181/9227, turun berbanding euro kepada 4.8204/8282 daripada 4.7961/8033, dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.7191/7285 daripada 5.7056/7142 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara jiran ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3045/3104 daripada 3.3084/3137 semalam, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 258.6/259.2 daripada 259.7/260.2, dan melonjak berbanding baht Thai kepada 12.8920/9208 daripada 12.9958/13.0240.

Ia turut mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.66/7.68 daripada 7.74/7.76. – Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!