Penghantar makanan tak mengaku rogol teman wanita

SEREMBAN - Seorang penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan merogol teman wanitanya Januari lalu.
Tertuduh, Ammar Fadhil Abd Raup, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 10 bulan pada 11 dan 18 Januari 2025 antara jam 11 malam hingga 11.30 malam di sebuah rumah di Taman Cermai Impian, Labu di sini.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Beliau turut memberitahu hubungan mangsa dengan tertuduh adalah sebagai teman wanita.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan yang rendah kerana hanya bekerja sebagai penghantar makanan dengan pendapatan RM1,500 sebulan selain perlu menanggung adik-adik yang masih bersekolah.
Mahkamah membenarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Hakim kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 Jun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

