Pas desak percepat siasatan letupan paip gas

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat (HAKS) menggesa pihak berkuasa mempercepatkan laporan siasatan berhubung kejadian letupan saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Pengerusinya, Khairil Nizam Khirudin berkata, siasatan menyeluruh dan laporan akhir daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dimuktamadkan segera demi kepentingan rakyat khususnya penduduk sekitar lokasi kejadian.

"Siasatan ini penting untuk memastikan punca sebenar kejadian letupan tersebut bagi membolehkan langkah keselamatan yang perlu diambil oleh semua pihak bagi mengelakkan tragedi sama berulang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, siasatan teknikal oleh agensi seperti Petronas, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga perlu dipercepatkan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan dan langkah-langkah keselamatan yang harus diambil.

“Kami difahamkan ada kemungkinan berlakunya pelanggaran SOP (prosedur operasi standard) terhadap kawasan ‘Right of Ways’ milik Petronas dan ini bukan isu kecil kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan orang ramai,” ujarnya.

Tambah Khairil Nizam, keadaan struktur tanah dan mendapan air juga mungkin menjadi faktor teknikal yang menyumbang kepada insiden tersebut.

Ujar beliau, meskipun paip gas direka untuk bertahan lebih 30 tahun, namun gangguan luaran seperti kerja penanaman paip air berdekatan boleh menjejaskan kestabilan sistem paip sedia ada.

Beliau turut meluahkan rasa bimbang jika kelewatan laporan siasatan boleh menyebabkan kerugian yang lebih besar kepada Petronas Gas Berhad (PGB) yang pada awalnya dianggarkan mencecah RM35 juta merangkumi kerugian hasil, kos pembaikan, pampasan dan kerosakan reputasi.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan saja tentang wang, tetapi tentang integriti syarikat milik negara dan nasib rakyat yang terkesan kerana kita tak mahu tragedi ini tenggelam begitu sahaja,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pas Selangor, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal dan Pas Kawasan Puchong yang pantas turun padang membantu mangsa ketika detik cemas tersebut.

“Ini bukti PAS cakna rakyat, tapi kita tak cukup dengan bantuan sahaja, sebaliknya kita mahu keadilan dan tindakan," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!