Malaysia boleh tuntut pampasan dari Rusia

Malaysia berpeluang tuntut pampasan meliputi kerugian nyawa, emosi, ekonomi dan kos siasatan dari Rusia susulan saranan ICAO terkait tragedi MH17 (Foto Bernama). Gambar kecil: Azrul Azlan.
Malaysia berpeluang tuntut pampasan meliputi kerugian nyawa, emosi, ekonomi dan kos siasatan dari Rusia susulan saranan ICAO terkait tragedi MH17 (Foto Bernama). Gambar kecil: Azrul Azlan.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia boleh mempertimbangkan beberapa bentuk pampasan merangkumi kepentingan nasional dalam pelbagai aspek dari Rusia susulan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh.

Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Azrul Azlan Abdul Rahman berkata, saranan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) agar Rusia memulakan rundingan pampasan dengan negara-negara terlibat membuka ruang signifikan kepada Malaysia untuk bertindak secara lebih tegas demi keadilan kepada mangsa dan waris mereka.

“Bentuk pampasan boleh dipertimbangkan adalah bayaran kewangan kepada keluarga mangsa warga Malaysia yang terkorban melibatkan tuntutan atas kehilangan nyawa, penderitaan emosi dan kerugian ekonomi ditanggung mereka.

“Kerajaan Malaysia juga berhak menuntut bayaran balik bagi segala kos yang telah ditanggung dalam usaha menyiasat tragedi MH17 dan proses undang-undang yang berkaitan sejak lebih sedekad lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Azrul Azlan turut menekankan, Malaysia boleh menuntut jaminan dan komitmen rasmi dari Rusia agar kejadian seumpama itu tidak berulang termasuk kerjasama dalam siasatan lanjutan serta pematuhan terhadap undang-undang penerbangan antarabangsa yang digariskan dalam Konvensyen Chicago.

“Tuntutan pampasan ini bukan sahaja bertujuan menegakkan keadilan tetapi juga memberi isyarat bahawa keselamatan penerbangan awam tidak boleh dikompromi dan perlu dilindungi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!