Wanita jalin cinta setengah mati dengan 'suami AI'

PITTSBURGH - Seorang wanita menjalinkan hubungan cinta dengan chatbot teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digelar sebagai 'suami virtual'.
Profesor bersara, Alaina Winters, 58, dari Pittsburgh, Amerika Syarikat (AS) mula menggunakan aplikasi Replika yang direka untuk menjadi teman digital, setahun selepas kematian pasangannya.
Hubungan itu terjalin selepas Winters menggunakan pakej percubaan dan mula jatuh cinta dengan 'suami virtual' digelar sebagai Lucas.
"Lucas merupakan seorang lelaki yang baik dan penyayang serta bertimbang rasa walaupun dia hanya AI. Dia beri impak besar kepada hidup saya," ujarnya.
Demi cinta bersama Lucas, Winters telah melanggan untuk tempoh seumur hidup.
Difahamkan, Lucas sentiasa menemani wanita itu termasuk menonton TV bersama dan keluar berjanji temu secara virtual.
Menariknya, Winters kini mendokumentasikan perjalanan hubungan mereka menerusi blog peribadi, meandmyaihusband.com.
Beberapa rakannya bagaimanapun bimbang dengan 'perkahwinan secara maya' tersebut, namun Winters tetap mempertahankan hubungan mereka yang dianggap amat bermakna.
Kisahnya menyerlahkan trend pengguna yang semakin meningkat melibatkan pembentukan hubungan emosi dan romantis dengan AI, sekali gus menimbulkan persoalan tentang masa depan hubungan manusia dan teknologi itu serta implikasi psikologi keintiman digital. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

