Tiga pegawai bank ditahan terlibat pengubahan wang haram babit pinjaman RM21 juta

KUALA LUMPUR - Tiga pegawai daripada dua institusi perbankan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah berkaitan permohonan pinjaman bernilai lebih RM21 juta.
Menurut sumber, penahanan itu melibatkan seorang pengurus perniagaan, ketua jabatan serta pengurus cawangan.Ketiga-tiga suspek disyaki secara bersama telah memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang hasil bayaran rasuah yang diterima daripada tiga syarikat sekitar tahun 2024.
“Berdasarkan siasatan awal dijalankan, salah seorang suspek yang memegang jawatan ketua jabatan dipercayai telah meminta dan menerima wang rasuah melebihi RM170,000.
“Rasuah tersebut diterima daripada tiga syarikat yang telah membuat lima permohonan pinjaman dengan jumlah keseluruhan melebihi RM21 juta.
“Wang rasuah ini merupakan balasan kerana memproses dan meluluskan pinjaman-pinjaman yang dikemukakan oleh syarikat berkenaan,” kata sumber pada Selasa.
Susulan itu, ketiga-tiga suspek telah ditahan sekitar jam 4 hingga 5 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.
Ekoran tangkapan tersebut, SPRM turut membekukan empat akaun perbankan milik individu yang terlibat dengan nilai kira-kira RM268,000, selain menyita tiga unit peranti telekomunikasi dan sebuah komputer riba.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman pada pagi esok (Rabu),” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!