Pendakwaan kemuka 25 saksi dalam perbicaraan kes bekas PTD, isteri

Muhammad Hafizuddeain bersama isterinya, Salwani yang menghadapi pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram hadir bagi prosiding sebutan kes di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto: Bernama
Muhammad Hafizuddeain bersama isterinya, Salwani yang menghadapi pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram hadir bagi prosiding sebutan kes di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan mengemukakan 25 saksi dalam perbicaraan kes bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin yang berdepan pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.

Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat memaklumkan perkara tersebut kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada sebutan kes hari ini yang turut dihadiri peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili pasangan itu.

Natrah Fareha berkata, terdapat beberapa lagi dokumen berkaitan kes itu akan diserahkan kepada pihak pembelaan dan pihaknya memerlukan masa memandangkan dokumen tersebut perlu diperoleh daripada beberapa agensi.

Fahmi berkata, beliau tidak membantah permohonan pihak pendakwaan berhubung serahan dokumen itu dan memaklumkan pihaknya mungkin menghantar representasi selepas menerima dokumen yang berkaitan.

Hakim Azura kemudian menetapkan sebutan kes pada 28 September ini untuk serahan baki dokumen.

Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa atas enam pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2.26 juta, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, di Jalan Melaka, Bukit Damansara, pusat bandar raya dan Ampang Point, Ampang, antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025.

Salwani, 27, pula didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000 yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun bank milik syarikat dan di sebuah bank cawangan Damansara Heights, Wisma UOA II di sini, antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025.

Wanita itu juga didakwa atas satu pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di sebuah cawangan bank di Jertih dekat Besut, pada 16 Jan 2025.

Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!