Kerajaan Perikatan Nasional komited perkasa agenda bumiputera

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

TANGGAL 1 Mac lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menamatkan kemelut pergolakan politik negara yang berlarutan selama seminggu apabila mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Kemelut politik tanah air yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui satu gerakan dipanggil ‘Langkah Sheraton’ akhirnya membawa kepada penubuhan satu kerajaan baharu dipanggil Perikatan Nasional (PN).

Ikuti temu bual KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN bersama Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas bagi membicarakan soal hala tuju kerajaan PN selepas ini.

SINAR HARIAN: Bagaimanakah hala tuju pentadbiran kerajaan PN selepas ini untuk jangka masa pendek dan panjang?

AHMAD FADHLI: Masih terlalu awal untuk meletakkan satu hala tuju pentadbiran kerajaan baharu apatah ia dibina melalui satu perikatan yang tidak dijalinkan sebelum pilihan raya.

Ia tiada komitmen janji manifesto bersama yang harus ditunaikan kerana masing-masing memenangi pilihan raya dengan janji dan manifesto yang berbeza.

Bagaimanapun, saya yakin matlamat bersama yang diletakkan oleh semua pihak dalam kerajaan baharu ini ialah memperkasakan agenda Islam dan Melayu yang dilihat agak diketepikan oleh Pakatan Harapan (PH).

Justeru, jangka masa pendek saya kira cukuplah dengan menghilangkan kebimbangan majoriti rakyat dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi serta meyakinkan para pelabur untuk kembali memperkasakan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Jangka masa panjang sudah tentu kita ingin lihat Malaysia terus aman tanpa sebarang provokasi dengan menjaga rapi asas-asas Perlembagaan Persekutuan.

Apakah cadangan Dewan Pemuda Pas Pusat terhadap penyelesaian jawatan Timbalan Perdana Menteri serta peruntukan jawatan Kabinet dalam PN?

AHMAD FADHLI: Pemuda Pas menyerahkan sepenuhnya soal jawatan Timbalan Perdana Menteri serta peruntukan jawatan Kabinet kepada pucuk pimpinan parti.

Memandangkan kerajaan terbina dengan majoriti tipis, saya pasti soal pembahagian jawatan Kabinet juga akan mengambil kira kepentingan menjaga kelangsungan kerajaan ini.

Dalam hal itu, Pemuda Pas menyokong penuh pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan barisan Kabinetnya.

Wajarkah kerajaan baharu PN menyegerakan pelantikan jemaah Kabinet bagi menangani isu nasional yang amat mustahak?

AHMAD FADHLI: Saya kira Covid-19 bukan satu-satunya ancaman yang sedang kita hadapi ketika ini. Ya, kita setuju agar pelantikan Jemaah Menteri wajar disegerakan.

Namun, Perdana Menteri harus diberikan ruang yang selesa untuk menentukan individu yang berkelayakan dan boleh bekerja bersamanya.

Buat masa sekarang, saya lihat pihak Kementerian Kesihatan telah sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab memantau dan mengekang virus ini melalui sistem kerja yang sedia ada.

Adakah pembentukan kerajaan baharu PN membantu parti dalam pakatan itu merealisasikan manifesto pilihan raya masing-masing atau satu manifesto perlu diseragamkan?

AHMAD FADHLI: Saya fikir kerajaan ini tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan mana-mana manifesto memandangkan ia terbentuk selepas pilihan raya.

Bagaimana manifesto yang tidak sama bahkan bertentangan satu sama lain boleh dilaksanakan oleh kerajaan yang sama?

Saya juga tidak menolak bahawa setiap pihak yang ada di dalam kerajaan ini pastinya akan berusaha sebaik mungkin bagi melaksanakan manifesto dan janji pilihanraya melalui ruang yang diberikan di dalam kerajaan nanti.