Terbuka Malaysia: Danny, Ben Leong pemain terbaik tempatan hari ini

Atlet golf Malaysia, Danny Chia ketika beraksi pada Kejohanan Golf Terbuka Malaysia 2020 di Kota Permai Golf and Country Club hari ini. - Foto Bernama
Atlet golf Malaysia, Danny Chia ketika beraksi pada Kejohanan Golf Terbuka Malaysia 2020 di Kota Permai Golf and Country Club hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN berpengalaman negara, Danny Chia dan Ben Leong muncul pemain terbaik tempatan selepas melakukan pukulan dua di bawah par 70 pada pusingan kedua Kejohanan Golf Terbuka Malaysia di Kota Permai Golf & Country Club di sini hari ini.

Kedua-dua pemain profesional negara itu mencatatkan pukulan yang sama iaitu dua di bawah par 70 (keseluruhan empat di bawah par 140) pada dua pusingan awal kejohanan yang menawarkan hadiah AS$1 juta dan berkongsi tempat ke-25 bersama lapan lagi pemain, sebelum permainan ditangguhkan akibat cuaca buruk.

Dengan ‘halway cut’ dijangkakan pada satu di bawah par 143, kedua-dua pemain negara itu dilihat mampu untuk mara ke pusingan akhir selepas hanya tinggal 77 pemain sahaja akan melengkapkan permainan pusingan kedua mereka awal pagi esok.

Walaupun bergelut dengan kecederaan belakang, Danny sangat berpuas hati dengan keputusan yang dicatatnya selepas melakukan enam birdie, dua bogey dan satu double-bogey hari ini.

“Saya melakukan beberapa pukulan yang kurang baik, namun secara keseluruhannya saya gembira dengan cara permainan saya. Seperti pernah saya katakan sebelum ini, jika saya boleh melalui empat pusingan tanpa rasa sakit, saya akan mendapat skor.

“Untuk hujung minggu ini, saya akan memburu pin. Saya agak konservatif dengan pukulan iron yang beberapa kali jauh daripada pin,” kata pemain berusia 47 tahun yang kali terakhir beraksi di Terbuka Malaysia pada edisi 2008.

Pemain Australia, Andrew Dodt mengekalkan kedudukan keputusan pendahulu ‘clubhouse’ pada pusingan kedua dengan jumlah pukulan keseluruhan 13 di bawah par 131 selepas membenam empat birdie bagi mencatatkan empat di bawah par 68 hari ini.

Berikutan cuaca buruk yang melanda kejohanan dua hari berturut-turut hampir separuh (77) daripada 156 pemain akan meneruskan pusingan kedua mereka pada jam 7.40 pagi esok diikuti pusingan ketiga yang di jangka berlangsung sebelum jam 11.30 pagi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!