Nahas FRU: KDN arah siasatan terperinci – Shamsul Anuar

LENGGONG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung nahas yang mengorbankan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), melibatkan sebuah trak FRU dengan lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pagi Selasa.
Merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah sewajarnya akan diambil termasuk dalam aspek kebajikan waris dan lain-lain keperluan.
“Saya mengharapkan ahli keluarga mangsa yang terkorban tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan ini.
“Saya juga yakin, bukan hanya siasatan akan dijalankan, malah pihak polis juga akan membantu mengambil langkah sewajarnya dalam soal kebajikan mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Pondok Polis Sementara Kampung Beng di sini pada Selasa.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan angka kematian dalam tragedi kemalangan melibatkan lori FRU dan lori muatan batu meningkat kepada 10 orang.
Lori FRU Unit 5 yang membawa 18 anggota telah dirempuh dari hadapan oleh lori batu kerikil yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng setelah selesai penugasan perayaan Chitrapournami di daerah Hilir Perak.
Maklumat kejadian itu diterima pada jam 8.51 pagi dan kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
