Dua suspek samun kedai serbaneka direman empat hari

KOTA BHARU - Dua lelaki yang disyaki menyamun enam cawangan kedai serbaneka di daerah ini direman selama empat hari bermula Selasa.
Perintah reman hingga Jumaat itu dikeluarkan oleh Majistret Amin Rashidi Ramli di Mahkamah Majistret di sini.
Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan perintah reman berkenaan.
“Mereka ditahan pada jam 6.45 pagi Isnin selepas cuba menyamun sebuah lagi kedai serbaneka di Kota Bharu,” katanya.
Dalam satu kejadian berkaitan, seorang pekerja sebuah kedai serbaneka bertindak pantas menolak dan mengunci pintu bilik pekerja sejurus seorang lelaki bertopeng mengacukan pistol ke arahnya di Jalan Hamzah di sini pada Isnin.
Mangsa lelaki berusia 24 tahun itu berada bersendirian di dalam premis ketika suspek masuk kira-kira jam 6 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

