Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, didorong oleh sentimen positif daripada rundingan diplomatik antara AS dan China mengenai tarif, kata penganalisis.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2950/4.3170 berbanding dolar AS daripada 4.2970/4.3005 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) naik lebih satu peratus kepada 101.788 mata berikutan ketegangan perdagangan antara AS dan China yang semakin reda.
"Ekuiti penanda aras meningkat dan hasil Perbendaharaan AS turut naik apabila sentimen pengambilan risiko semakin ketara.
"Sehubungan itu, ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berikutan perjanjian perdagangan AS-China menunjukkan bahawa kejutan tarif dapat diuruskan dengan lebih baik melalui rundingan diplomatik dalam beberapa bulan akan datang,” katanya kepada Bernama pada Selasa.
Beliau berkata, tempoh penangguhan selama 90 hari yang dipersetujui oleh AS dan China untuk mengurangkan tarif ke atas barangan masing-masing akan menjana hasil yang lebih baik kepada banyak negara, termasuk Malaysia.
Dilaporkan, AS dan China bersetuju untuk menurunkan tarif ke atas barangan masing-masing selama 90 hari akan datang, sekali gus memberi isyarat bahawa ketegangan dalam perang perdagangan mungkin mereda.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai dalam rundingan di Geneva pada hujung minggu lepas, AS akan mengurangkan tarif tambahan ke atas produk China daripada 14.5 peratus kepada 3.0 peratus, manakala China akan menurunkan tarif ke atas import AS daripada 12.5 peratus kepada 1.0 peratus.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dan negara-negara ASEAN.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8981/2.9132 daripada 2.9565/2.9591 ketika ditutup pada Jumaat lepas, naik berbanding euro kepada 4.7666/4.7910 daripada 4.8320/4.8359, dan menambah nilai berbanding pound sterling kepada 5.6608/5.6898 daripada 5.7004/5.7050 sebelumnya.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2902/3.3078 daripada 3.3095/3.3124 pada Jumaat lepas, dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 258.6/260.0 daripada 260.0/260.4 sebelumnya.
Mata wang tempatan turut naik berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.79 daripada 7.74/7.76, dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8577/12.9348 daripada 13.0082/13.0267 sebelum ini. – Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

