Dari tepi jalan, kini miliki empayar sendiri

A
A
A

BERMULA dengan menjaja biskut di tepi jalan di bawah terik mentari, kini Anis Arnisha Rosdan, 26, mampu tersenyum bangga apabila berjaya membina empayar perniagaan jenama Cik Bakes yang semakin dikenali ramai.

Graduan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) ini berkata, enam tahun lalu dia hanya mampu menjual 10 bekas biskut Nutella Pod sehari hasil air tangan sendiri.

“Saya mula buat dan jual sendiri selepas kematian ibu saudara. Sebelum itu saya bekerja dengannya berniaga kuih-muih dan biskut di pasar malam dengan upah RM10 sehari.

“Berbekalkan ilmu pastri yang saya pelajari di IKTBN, saya nekad mencuba nasib dalam bidang ini untuk mencari rezeki,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, biskut Nutella Pod mula mendapat sambutan luar biasa sekitar tahun 2019 sekali gus membuka ruang untuknya melebarkan perniagaan.

Bermula dengan menjaja biskut di tepi jalan, kini Anis Arnisha mampu tersenyum bangga apabila berjaya membina empayar perniagaan jenama Cik Bakes yang semakin dikenali ramai.
Bermula dengan menjaja biskut di tepi jalan, kini Anis Arnisha mampu tersenyum bangga apabila berjaya membina empayar perniagaan jenama Cik Bakes yang semakin dikenali ramai.

Katanya, ada pelanggan yang mencadangkan supaya mewujudkan sistem ejen bagi memperluaskan lagi capaian produk ke seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Awalnya saya guna perkhidmatan bas untuk hantar biskut, kemudian guna pos dan selepas itu wujudkan sistem ejen. Alhamdulillah, produk buatan saya makin dikenali sampai tak menang tangan.

“Bermula dari rumah, saya kemudian menyewa lot kedai dan menggaji dua pekerja. Namun, apabila negara dilanda pandemik Covid-19, saya terpaksa uruskan semuanya seorang diri,” ujarnya.

Bisnes kecil-kecilan jadi empayar

Menurut Anis Arnisha, semasa pandemik, permintaan terhadap biskutnya melonjak sehingga memaksa dia bekerja tanpa henti dari jam 8 pagi hingga 2 pagi setiap hari.

Katanya, walaupun penat, namun puas hati kerana jualan ketika itu meningkat berkali ganda.

Kini, perniagaan yang bermula kecil-kecilan itu berkembang menjadi empayar dengan lebih 50 produk pencuci mulut termasuk aiskrim, kek dan pelbagai lagi.

“Premis ini bukan sahaja menjadi tempat jualan, malah turut menempatkan 30 kakitangan serta pusat pengeluaran.

Bermula dengan menjaja biskut di tepi jalan, kini Anis Arnisha mampu tersenyum bangga apabila berjaya membina empayar perniagaan jenama Cik Bakes yang semakin dikenali ramai.
Bermula dengan menjaja biskut di tepi jalan, kini Anis Arnisha mampu tersenyum bangga apabila berjaya membina empayar perniagaan jenama Cik Bakes yang semakin dikenali ramai.

“Pelanggan juga boleh datang dan menikmati makanan di sini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Anis Arnisha berkata, lebih 300 bekas pencuci mulut berjaya dijual setiap hari dan sepanjang November 2024 hingga Februari 2025, syarikatnya mencatat jualan melebihi RM1 juta setiap bulan.

“Sasaran saya tahun ini ialah membawa jenama Cik Bakes ke luar Kelantan dan Pantai Timur melalui penyertaan dalam ekspo dan karnival,” ujarnya.

Tambahnya, kejayaan yang dikecap hari ini turut disokong suami tercinta, Shahmie Mustapha, 28, yang juga bertugas sebagai pegawai pemasaran di syarikat Cik Bakes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!