Lokasi pencarian lelaki murung hilang diperluas

Operasi pencarian Mohd Hazrin yang tidak pulang ke rumah sejak kelmarin diperluas hingga 5km dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
Operasi pencarian Mohd Hazrin yang tidak pulang ke rumah sejak kelmarin diperluas hingga 5km dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
A
A
A

GERIK - Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki menghidap kemurungan yang dilaporkan hilang di kawasan ladang getah di Felda Papulut, Lawin di sini diperluas sehingga 5km, hari ini.

Lokasi pencarian kini merangkumi kawasan hutan selepas tinjauan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) mendapati mangsa menuju ke arah hutan tebal.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak berkata, mangsa didapati berjalan sejauh 4km dari lokasi terakhir hilang.

"Kerja-kerja mencari dan menyelamat diteruskan pada jam 8 pagi tadi dibantu empat anggota Unit K9 dan dua anjing.

"Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) turut diatur gerak bagi membantu usaha pencarian ini, sehingga kini radius pencarian diperluaskan kira-kira 5km dari lokasi terakhir mangsa hilang," katanya.

Mangsa dikenali Mohd Hazrin Hamzah, 26, mempunyai masalah kemurungan dilaporkan keluar dari rumah di Felda Papulut seorang diri kira-kira jam 7 pagi kelmarin sebelum dipercayai masuk ke ladang getah dan belum pulang ke rumah sehingga kini.

Operasi hari ini disertai hampir 50 orang masing-masing dari JBPM, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta orang awam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa ketika dihubungi mengesahkan setakat ini, mangsa masih belum ditemui.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki murung hilang di ladang getah