APPGM-SDG jadi sekolah politik belia

KUANTAN - Projek pembangunan di peringkat akar umbi yang dijalankan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) disifatkan sebagai sekolah politik belia berkesan dalam melahirkan pemimpin muda berkualiti.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, penyertaan anak muda dalam politik perlu berlandaskan prinsip dan nilai perjuangan, bukan semata-mata mengejar kuasa atau kepentingan jangka pendek.
Menurutnya, politik sepatutnya dilaksanakan secara bersih murni dan harus disesuaikan dengan tiga kehendak utama generasi muda iaitu mahu suara mereka didengar, peranan diiktiraf serta isu-isu ditangani secara berorientasikan belia.
“Kita perlu memfasilitasi kefahaman mereka terhadap politik kerana ramai yang tidak minat, malah ada yang membenci.
"Ini bukan salah mereka, tetapi kesan daripada contoh buruk yang ditunjukkan oleh ahli politik sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Saifuddin merasmikan Sidang Kemuncak Belia Malaysia-ASEAN SDG di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu memaklumkan pendekatan politik baharu yang diketengahkan dan diberi perhatian semula kerana mengandungi dua komponen penting iaitu Integriti Politik dan Kerangka Governans Baru.
Ujarnya, Integriti Politik menekankan tiga rukun utama iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang perlu digerakkan secara seiring untuk memastikan perjuangan politik kekal utuh dan relevan.
“Politik ilmu mesti menggantikan politik ampu, politik hikmah ganti politik fitnah dan politik bakti mengatasi politik undi,” ujarnya.
Dalam pada itu Kerangka Governans Baru pula, merujuk kepada keperluan semua sektor pembangunan kerajaan, swasta dan masyarakat sivil termasuk belia bagi membolehkan bekerjasama secara inklusif dalam membuat keputusan.
“Masalah berlaku apabila setiap sektor hanya menjaga ruang sendiri dan kurang bekerjasama. Kita perlu anggap semua sebagai rakan kongsi pembangunan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

