YAPEIM salur RM235,000 bantu masyarakat memerlukan di NS

Abdul Khudus (tiga dari kanan) merasmikan program PPKY Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Jamek Dato' Klana Petra Sendeng. Turut kelihatan Zabidi(dua dari kiri)
Abdul Khudus (tiga dari kanan) merasmikan program PPKY Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Jamek Dato' Klana Petra Sendeng. Turut kelihatan Zabidi(dua dari kiri)
A
A
A

SEREMBAN - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM235,000 bagi Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) peringkat Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM150,000 disalurkan antaranya untuk bantuan makanan, sumbangan musibah atau bencana dan pendidikan.

Menurutnya, bantuan PPKY yang memanfaatkan kumpulan sasar di Negeri Sembilan itu berupa sumbangan bantuan makanan kepada 100 penerima, keseluruhannya berjumlah RM10,000.

“Selain itu, sumbangan bantuan musibah atau bencana kepada 10 keluarga, keseluruhan berjumlah RM5,000 dan sumbangan bantuan kewangan pendidikan kepada 150 pelajar dengan keseluruhan berjumlah RM15,000.

“Sumbangan kepada Masjid Jamek Dato Klana Petra Sendeng iaitu bantuan peralatan dan infra pula berjumlah RM5,000 serta sumbangan bagi penganjuran majlis keraian dan kemasyarakatan berjumlah RM25,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program PPKY Ke-13 1di Masjid Jamek Dato' Klana Petra Sendang di Ampangan di sini pada Khamis.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim.

Tambah beliau, pihaknya turut menyalurkan sumbangan RM90,000 kepada tiga peserta terpilih bagi menerima manfaat bantuan baik pulih premis perniagaan di bawah Program Sinar Lestari YAPEIM.

Artikel Berkaitan:

Katanya, YAPEIM turut membantu membina rumah seorang penerima yang juga peniaga pakaian menerusi Program Sinar Lestari YAPEIM berjumlah RM80,000.

“Di bawah program tersebut, penerima turut diberi pakej bantuan kelestarian perniagaan sehingga RM5,000 dalam bentuk sokongan peniagaan.

“Penerima manfaat berkenaan ialah Zuhaimah Akob, 51, yang tinggal di Kuala Pilah dan dia telah pun menerima kunci rumah yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Khairul Faiz Morat@ Abd Morat,” katanya.

Menurut Zabidi, program PPKY mengambil masa tiga tahun dan merupakan satu pendekatan holistik dalam menyantuni masyarakat atau komuniti setempat dengan pelaksanaan aktiviti dan pemantauan yang berterusan.

Tambah beliau, ia merangkumi pembangunan ekonomi keusahawanan, bantuan pendidikan dan bantuan kemasyarakatan.

Jelasnya, sehingga kini, PPKY telah menyantuni masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Sabah, Perak, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang. Johor dan Perlis.

“Secara keseluruhan sejak 1985 hingga Disember 2024, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM725 juta kepada 14 juta penerima manfaat di seluruh negara,” katanya.

Menurut Zabidi, yayasan itu juga turut menyediakan kemudahan mikro kredit Ar Rahnu YAPEIM yang kini mempunyai 203 cawangan di seluruh negara.

Ujarnya, perkhidmatan berkenaan memberi peluang kepada peniaga atau usahawan kecil untuk mendapatkan pembiayaan jangka pendek bagi menyelesaikan isu berkaitan modal kerja mereka.

“Secara keseluruhan, Ar Rahnu YAPEIM telah menyantuni seramai hampir sejuta orang penggadai dengan nilai pembiayaan berjumlah RM17.5 bilion, melibatkan nilai marhun berjumlah RM26.9 bilion sejak tahun 2000 sehingga Mac 2025,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!