Trump cadang turun tarif ke atas China kepada 80 peratus

Menjelang rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China di Switzerland, Presiden AS, Donald Trump mencadangkan agar tarif 145 peratus ke atas import dari China dikurangkan kepada 80 peratus. Gambar hiasan
Menjelang rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China di Switzerland, Presiden AS, Donald Trump mencadangkan agar tarif 145 peratus ke atas import dari China dikurangkan kepada 80 peratus. Gambar hiasan
A
A
A

WASHINGTON – Menjelang rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China di Switzerland, Presiden AS, Donald Trump mencadangkan agar tarif 145 peratus ke atas import dari China dikurangkan kepada 80 peratus.

“Tarif 80% ke atas China nampak sesuai!” kata Trump menerusi catatan di platform media sosial miliknya, Truth Social, menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa).

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan muktamad diserahkan kepada Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent.

“Terserah kepada Scott B,” katanya ringkas.

Bessent dijadual mengetuai delegasi AS hujung minggu ini ke Switzerland bagi membincangkan ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara bersama rakan sejawatnya dari China.

Dalam satu wawancara bersama stesen penyiaran AS, Fox News, Bessent menyatakan bahawa kedua-dua pihak perlu terlebih dahulu mencapai kata sepakat mengenai isu-isu yang akan dibincangkan dalam rundingan.

Sementara itu, menurut laporan Anadolu Ajansi, Trump turut menggesa China agar membuka pasarannya kepada Amerika Syarikat, dengan menyatakan bahawa pendekatan pasaran tertutup tidak lagi berkesan dan pembukaan pasaran akan memberi manfaat kepada China sendiri.

“China patut buka pasarannya kepada AS – sangat baik untuk mereka! Pasaran tertutup tidak lagi berfungsi,” katanya dalam satu hantaran berasingan.

Rundingan dijadual bermula Sabtu ini di Geneva, dengan delegasi Amerika diketuai oleh Bessent dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, manakala China akan diwakili oleh Naib Perdana Menteri, He Lifeng.

Artikel Berkaitan:

Rundingan ini bertujuan meredakan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak susulan tindakan AS mengenakan tarif setinggi 145 peratus ke atas import dari China, yang kemudiannya dibalas oleh China dengan pengenaan tarif sehingga 125 peratus ke atas beberapa barangan dari Amerika Syarikat. - Bernama-dpa/AA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!